Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan penganjuran pesta gay di Kelantan sebagai sesuatu yang sangat memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.
Beliau secara sinis berkata, kejadian itu mungkin dianggap biasa sekiranya berlaku di negeri-negeri lain.
“Kejadian ini sememangnya memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di Kelantan – negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.
"Namun, yang lebih penting daripada rasa malu itu ialah keberanian untuk membasmi kemungkaran. Ubat memang pahit, tetapi selagi penyakit masih bersarang, kita wajib memaksa diri untuk menelannya.
“Ia memalukan kerana berlaku di Kelantan. Jika berlaku di Kuala Lumpur seperti serbuan di Blue Boy Club pada Ogos 2018, atau parti Halloween LGBT pada Oktober 2022, di Johor Bahru seperti pesta seks sejenis pada Februari 2023, bahkan di Pulau Pinang seperti pesta seks di sebuah unit kondominium pada Jun 2022 di mana polis menemui kondom, pelincir, dan dadah jenis ketamin, tentu ia tidak memalukan. Bahkan itu dianggap biasa.
“Tetapi apabila ia berlaku di KELANTAN, maka ia dikata mengaibkan. Namun begitu, yang lebih utama ialah tindakan berani membanterasnya, bukan menutup mata demi menjaga persepsi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan menzahirkan penghargaan kepada Polis Kelantan atas tindakan tegas menyerbu pesta berkenaan yang jelas mencemarkan maruah negeri.
“Usaha ini wajar dipuji dan diteruskan hingga budaya songsang ini lenyap dari bumi Kelantan.
“Kita berharap polis terus konsisten, banteras budaya ini hingga ke akar umbi.
"Kerajaan Kelantan juga wajar diberikan lebih ruang untuk merangka undang-undang lebih tegas bagi menyekat gejala ini tanpa sebarang sekatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, cabaran terbesar bagi kerajaan negeri adalah kekangan undang-undang Persekutuan yang menyekat pelaksanaan penuh bidang kuasa negeri.
“Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan misalnya pada 25 Februari 2021 telah membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti perempuan atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan.
“Justeru, Kelantan perlu mengkaji apakah lagi ruang yang boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang lebih keras namun selari dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun kejadian itu memalukan kerana berlaku di Kelantan, namun aspek paling utama ialah keberanian untuk membanteras kemungkaran tanpa kompromi.
Ahmad Fadhli turut menegaskan komitmennya agar bumi Kelantan terus dibersihkan daripada sebarang unsur budaya songsang.
“Sekali lagi tahniah PDRM! Teruskan sehingga Kelantan bersih sebersih-bersihnya,” katanya.
0 Ulasan