Zahid bukan hero jatuhkan Tun Mahathir


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuhkan beliau dan menyelamatkan UMNO.

Menurut Dr Mahathir, beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2020 setelah partinya ketika itu, Bersatu menolak nasihatnya.

"Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan. 

"Dan itulah yang saya lakukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu,  Ahmad Zahid mendedahkan beliau ialah dalang utama menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman parti tersebut.

Menurutnya, tindakan luar biasa itu  terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan UMNO.

Dr Mahathir menambah, Ahmad Zahid menemuinya sebanyak dua kali ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Menurut beliau, Ahmad Zahid yang baru menjadi Presiden UMNO ingin tahu apa yang akan jadi kepada parti itu.

"Bagi saya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada dasar penubuhan UMNO iaitu berjuang untuk bangsa, Negara dan agama. Parti yang mengguna nama UMNO berjuang untuk wang.

"Oleh kerana perjuangan tidak sama dengan perjuangan asal UMNO, hak untuk dikenali sebagai parti UMNO sudah hilang. 

"Oleh itu adalah lebih baik bagi nama UMNO tidak diguna dengan cara membubar parti yang mengguna nama UMNO," jelasnya.

Namun, kata Dr Mahathir, Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan saranan itu.

"Saya tidak boleh dijatuh oleh Zahid atau UMNOnya. Parti yang kalah tidak berhak jatuh parti yang menang," katanya. 

Dr Mahathir memberitahu, dalam perjumpaan kedua, Ahmad Zahid cuba menjelaskan bahawa beliau tidak bersalah dalam tuduhan rasuah terhadapnya.

Dr Mahathir ketika itu menjelaskan kepada Ahmad Zahid bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membebaskannya dan bukti yang cuba ditunjukkan Ahmad Zahid kepadanya sepatutnya dibawa ke mahkamah.

"Zahid bukan hero. Ia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat UMNO, iaitu DAP, supaya jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya dari dibicara berkenaan kesalahannya," dakwanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan