![]() |
| Gambar hiasan: Facebook UPM |
Polemik yang dicetuskan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung cadangan mengembalikan nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama lamanya iaitu Universiti Pertanian Malaysia berakhir hari ini.
Seperti dilaporkan media, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak berkenan dengan cadangan tersebut yang tidak dirujuk terlebih dahulu kepada baginda selaku Canselor UPM serta Lembaga Pentadbir UPM.
"Baru-baru ini beta telah membaca satu kenyataan daripada seorang Menteri, Mohamad Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.
"Di sini beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat'," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika berkenan hadir menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di UPM, Serdang hari ini.
Baginda bertitah lagi, nama Universiti Putra Malaysia juga adalah mengambil sempena nama Perdana Menteri yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.
Baginda mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan terutama yang melibatkan Universiti Putra Malaysia.
Mohamad melontarkan cadangan itu kelmarin serta menyatakan hasratnya untuk membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Beliau memberi alasan langkah itu dipertimbangkan setelah mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
Walau bagaimanapun, cadangan Mohamad itu dibantah oleh banyak pihak yang mahu nama Universiti Putra Malaysia dikekalkan kerana lebih relevan dengan kepelbagaian bidang pengajian yang ditawarkannya ketika ini dengan mengekalkan jurusan berkaitan pertanian.

0 Ulasan