![]() |
Gambar hiasan: Polina Tankilevitch / Pexels |
Penganalisis politik, Lim Sian See menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import.
"Syukur! Selepas satu setengah tahun, akhirnya menteri Madani mendapat bukti bahawa beras tempatan memang dijual sebagai beras import," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau merujuk kepada penemuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang mengesahkan melalui ujian DNA bahawa sekitar 40% hingga 50% sampel beras import di pasaran sebenarnya dicampur dengan beras tempatan.
"Undang-undang sedia ada sudah cukup kuat untuk menghalang tindakan ini," tambah Sian See, merujuk kepada peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga & Anti-Pencatutan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999, dan Akta Kawalan Padi & Beras 1994.
Hukuman bagi kesalahan ini termasuk denda sehingga RM500,000, penjara sehingga 10 tahun, serta sebatan bagi kesalahan yang lebih serius.
Sian See menekankan bahawa pihak berkuasa seperti Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan boleh mengambil tindakan terhadap pengeluar yang terlibat, termasuk membatalkan lesen mereka.
"Kerajaan Madani perlu mengumumkan bahawa KPDN akan mula mengambil sampel beras import secara rawak untuk diuji oleh MARDI.
"Jika terbukti berlaku kesalahan, kerajaan akan mendakwa pengeluar, pengimport, serta pengarah syarikat yang terlibat," katanya.
Laporan media hari ini mendedahkan bahawa MARDI telah menjalankan ujian DNA ke atas sampel beras import dan mendapati sebahagian besar daripadanya dicampur dengan beras tempatan, menimbulkan kebimbangan mengenai ketelusan dan kejujuran dalam industri beras negara.
0 Ulasan