Selepas tiga tahun berlalu, hujah Datuk Seri Najib Razak dalam debat isu Sapura Energy bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terbukti benar apabila kerajaan tetap menyelamatkan syarikat itu dengan menyalurkan dana sebanyak RM1.1 bilion.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, perkembangan itu jelas menunjukkan cadangan Najib dalam debat tersebut lebih bernas dan berasas berbanding janji Anwar untuk menjalankan audit forensik terhadap syarikat itu.
“Audit yang dijanjikan tidak pernah berlaku, tetapi kerajaan tetap menyuntik bantuan kewangan seperti yang dicadangkan oleh Najib.
"Nasihat bernas dan berasas lawan tin kosong,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurut beliau, meskipun dibebani hutang tinggi, Sapura Energy masih mampu meraih keuntungan serta memperoleh projek baharu dalam tempoh tiga tahun ini.
Sian See berkata, ini adalah kerana sektor minyak dan gas kekal kukuh selain Sapura Energy memiliki aset yang sangat bernilai di peringkat global.
Bagaimanapun, katanya, prestasi syarikat itu tidak dapat berkembang lebih baik kerana kekangan hutang yang tinggi sehingga terpaksa menjual baki 50 peratus pegangan dalam Sapura-OMV tahun lalu, menyebabkan mereka kehilangan telaga minyak yang dimiliki sebelum ini.
"Saya yakin bahawa jika Najib masih menjadi Perdana Menteri, Sapura Energy sudah pasti kembali menjadi salah satu syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar di dunia.
"Mereka juga tidak perlu menjual telaga-telaga minyak mereka, sekali gus memberikan manfaat dan pulangan besar kepada pemegang saham utama mereka, iaitu PNB dan negara sebab mendapat kembali satu syarikat bertaraf dunia," jelasnya.
Sian See turut menyifatkan perbandingan antara pendekatan Najib dan kerajaan Madani sebagai bukti kecekapan bekas Perdana Menteri itu dalam mengurus ekonomi.
"Najib (cekap, berpandangan jauh) vs Madani (lambat, banyak cakap tapi akhirnya ikut juga cadangan Najib)," katanya.
0 Ulasan