Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesyorkan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya menjadi akauntan bertauliah seperti dirinya.
Menurut beliau, ramai pelajar dan ibu bapa berdepan dilema dalam memilih jurusan selepas SPM, dan pemilihan itu seharusnya mengambil kira keseimbangan antara minat dan peluang kerjaya.
“Dilema ibu bapa dan pelajar ialah jurusan apa nak ambil selepas SPM. Banyak yang kata akan pilih ikut minat. Nasihat saya kena imbangkan antara minat dengan peluang kerjaya baik masa hadapan.
“Sebab itu saya syorkan jadi akauntan bertauliah, macam saya!” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.
Rafizi turut berkongsi pengalaman peribadinya yang memulakan pengajian dalam aliran sains sebelum beralih kerjaya sebagai akauntan bertauliah walaupun tidak mempunyai latar belakang akademik dalam bidang perakaunan.
“Saya dulu pelajar sains tulen. Habis SPM, buat A-Levels pun sains tulen. Ijazah pun buat kejuruteraan elektrik dan elektronik. Habis universiti, saya kerja sebagai auditor dan akauntan bertauliah. Eyh, macam mana pulak?
“Sebab kerjaya akauntan tidak memerlukan kita belajar akaun di sekolah atau universiti. Malah, untuk jadi akauntan bertauliah tak perlukan ijazah perakaunan pun. Hanya perlu lulus peperiksaan dari institut akauntan bertauliah seperti ICAEW atau ACCA,” jelasnya.
Tambah beliau, industri kewangan dan perakaunan sangat mengutamakan kelayakan profesional seperti itu, dan kerajaan melalui Yayasan Peneraju telah digerakkan bagi melahirkan lebih ramai akauntan bertauliah Bumiputera.
“Yayasan Peneraju, sebuah agensi Bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi diamanahkan melahirkan profesional Bumiputera. Salah satu fokus utama ialah menggandakan jumlah akauntan bertauliah Bumiputera.
“Sebab itu, bermula 2025, jumlah pengambilan pelajar lepasan SPM untuk menjadi akauntan bertauliah ditingkatkan dari 500 orang setahun kepada 1,500 orang setahun, naik dua kali ganda.
“Pelajar yang berjaya akan diberi pembiayaan mengikut kesesuaian dan ditempatkan di kolej-kolej profesional seperti Sunway University, INTEC Shah Alam, Tymba dan lain-lain,” katanya.
Jelas Rafizi lagi, mereka yang berjaya menamatkan peperiksaan profesional tanpa gagal berpeluang memulakan kerjaya sebagai akauntan bertauliah seawal usia 21 tahun di firma-firma besar.
“Jika adik berjaya lulus semua peperiksaan tanpa gagal, pada umur 21 tahun adik sudah boleh mula bekerja sebagai akauntan bertauliah di firma-firma besar,” katanya.
Permohonan untuk program tersebut boleh dibuat melalui laman sesawang https://peneraju.org/ dengan mengisi borang menggunakan keputusan SPM.
Calon juga dikehendaki hadir bersama ibu bapa ke sesi taklimat dan temuduga di beberapa lokasi terpilih bermula 27 April ini.
Antara lokasi terlibat termasuk Shah Alam, Port Dickson, Ipoh, Kuantan, Kuching, Mukah, Betong, Muar, Sungai Petani, Kuala Terengganu, Sandakan, Tawau dan Tuaran.
Sehubungan itu, Rafizi berharap lebih ramai pelajar mengambil peluang ini untuk mencorak masa depan mereka.
“Antara keputusan terbaik saya pernah buat ialah menjadi akauntan bertauliah di bawah ICAEW. Saya harap lebih ramai yang memilih jalan ini,” katanya.
1 Ulasan
Jangan jadi pengencing.
BalasPadam