Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 116 orang ditahan kerana berkumpul untuk solat Jumaat di lima masjid.
Beliau menambah, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengadakan sebanyak 1,046 sekatan jalan raya dan melakukan 2,149 pemeriksaan mengejut manakala 240,544 diperiksa.
"Terdapat juga laporan kegiatan berjoging di dalam premis-premis tertutup seperti komuniti berpagar. Semua kegiatan ini perlu dihentikan serta-merta.
"Walaupun kawasan sempadan negara ditutup, masih ada kemasukan warga asing melalui jalan tikus. Justeru, PDRM akan mengawal jalan tikus yang telah dikenal pasti," jelasnya dalam sidang akhbar hari ke-11 PKP.
Sementara itu, berhubung kes penipuan, setakat 25 Mac, PDRM telah membuka sebanyak 393 kertas siasatan penjualan palsu dalam talian berkaitan penutup mulut dan hidung, melibatkan kerugian sebanyak RM3 juta.
Ismail Sabri memberitahu, kes penipuan semakin berleluasa termasuk penipuan dalam talian dan panggilan telefon untuk membuat transaksi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan sebagainya.
"Jadi, tolonglah berhati-hati, jangan layan jika dari sumber yang diragui," katanya.
Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, mulai 27 Mac PKPD dikuatkuasakan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.
"Daripada 86 kes di Kluang, seramai 74 orang didapati positif di dua kawasan tersebut dalam tempoh 48 jam.
"PDRM dan ATM sentiasa siap siaga untuk memastikan tiada penduduk keluar dan masuk ke dua kawasan ini.
"Pematuhan PKPD di dua kawasan ini mencapai 100 peratus," ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail menjelaskan, setakat 27 Mac, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 114 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu.
Daripada jumlah itu, katanya, semalam sahaja Pihak SKMM dan PDRM telah membuka tujuh kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu.
Perkembangan-perkembangan lain adalah seperti berikut:
Tindakan membawa pulang rakyat Malaysia
• Seramai 2,612 daripada 3,162 rakyat Malaysia di 60 negara telah berjaya dibawa pulang.
• 12 pesawat komersial telah bersedia membawa pulang 1,988 rakyat Malaysia dari India termasuk rakyat Malaysia berbangsa Sikh yang terkandas di Amritsar, Punjab, India.
• Terima kasih kepada pihak MIC atas bantuan yang diberi untuk membawa rakyat Malaysia pulang.
• Rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah juga akan dibawa pulang.
• Mana-mana rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara, sila hubungi pejabat Kedutaan Malaysia yang terdekat dengan mereka.
Proses nyahcemar
• Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai 23 Mac hingga semalam telah melalukan proses nyahcemar di 11 kawasan pasar.
• Pembersihan dan nyahcemar ini termasuk kawasan Sri Petaling yang dilakukan hari ini.
• Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipertangungjawabkan untuk proses nyahcemar di seluruh negara melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ATM.
• Proses nyahcemar akan dilakukan bermula 30 Mac 2020 dan akan ditumpukan di kawasan berisiko tinggi.
Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
• Kerajaan berterima kasih di atas keperhatinan NGO yang mengagihkan makanan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
• Bagaimanapun, bagi mengurangkan pergerakan dalam tempoh PKP, mereka diminta menghantar sumbangan ke pusat kebajikan daerah di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
• Pengedaran sumbangan akan dilakukan oleh anggota RELA dan APM.
COVID-19: MAIWP Latih Usahawan B40 Jana Pendapatan
Inisiatif Prihatin Berupaya Rancakkan Ekonomi Negara
Presma Cadang Mansuh SST Untuk Tempoh Setahun
CUEPACS Sedia Bantu Kerajaan Tangani Kesan COVID-19
Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat - Teks Penuh Ucapan PM
Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19
0 Ulasan