KUALA LUMPUR 27 Mac 2020 - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk tempoh setahun.
Berikut adalah kenyataan penuh Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan:
Seperti yang kita semua maklum, sebahagian besar rakyat Malaysia merasa lega dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) percaya dengan insentif diberikan, ia mampu menggerakkan ekonomi negara yang berada dalam keadaan tidak menentu sejak 18 Mac lalu susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kita gembira kerana sekurang-kurangnya, dengan insentif ini, kuasa beli pengguna akan kembali pulih, ekonomi kembali rancak malah semua sektor termasuk peruncitan, perdagangan dan apa juga aktiviti perniagaan akan aktif kembali.
Pun begitu, Presma ingin mencadangkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam masa terdekat ini untuk tempoh setahun.
Ini kerana, dengan pengenalan kadar cukai yang rendah, peniaga khususnya pemilik restoran akan dapat menyediakan makanan dan minuman pada harga yang jauh lebih rendah dan tentunya ia akan membantu rakyat.
Selama ini perniagaan ahli-ahli Presma disokong oleh rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kami bukanlah restoran untuk golongan berada, bilik berhawa dingin sepanjang masa, sebaliknya menu yang kami sediakan adalah menu pilihan rakyat Malaysia sejak berpuluh tahun yang lalu.
Justeru, dengan kadar cukai yang rendah, kami yakin dapat membantu rakyat negara ini menikmati harga berpatutan dan duit yang ada itu juga boleh digunakan bagi tujuan lain.
Sepanjang minggu lalu, pendapatan ahli Presma direkodkan menyusut sehingga 80 peratus ekoran restoran yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya seperti biasa dan ia memberikan kesan yang besar kerana pada masa sama, kami juga perlu membayar gaji kakitangan, bil utiliti serta kos lain yang tinggi.
Presma juga berpendapat, kadar levi untuk sektor perkhidmatan juga wajar dikurangkan kepada RM1,200 iaitu sama seperti kadar sebelum ini,untuk tempoh dua tahun.
Pengurangan sebanyak RM600 itu boleh memberikan penjimatan kepada syarikat dan menjadikan kami mampu untuk membayar levi seperti diputuskan kerajaan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga diminta mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian cukai bagi tahun 2019 dan 2020 serta menangguh kutipan PCP 2020 yg dibayar secara bulanan.
Akhirnya Presma berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada rakyat Malaysia keseluruhannya ketika kita berdepan satu keadaan yang tidak pernah kita bayangkan.
Semua peringkat merasa susah dan dengan adanya PRIHATIN ini, rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.
CUEPACS Sedia Bantu Kerajaan Tangani Kesan COVID-19
Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat - Teks Penuh Ucapan PM
Najib Rayu Pemilik Hartanah Tangguh Kutipan Sewa Semasa Krisis Covid-19
Prasarana Berhasrat Derma Motosikal Baharu Kepada Penunggang Grabfood Terlibat Kemalangan
Sumber Pembelajaran Dalam Talian & Data 4G Percuma Melalui Inisiatif Learn From Home
Soalan Lazim Asas Pengeluaran i-Lestari
0 Ulasan