ANULAE Terkilan LPPSA Tidak Beri Moratorium



KUALA LUMPUR 9 APRIL 2020 - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) terkejut dan terkilan dengan keputusan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tidak memberi moratorium bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa badan berkanun berkenaan akan berhadapan masalah kewangan yang serius seandainya ia melaksanakan moratorium seperti yang diumumkan oleh kerajaan.

Beliau menambah, keputusan itu juga menunjukkan bahawa LPPSA tidak langsung mempunyai sensitiviti terhadap situasi ekstrem yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.  

"Langkah yang diambil oleh LPPSA ini amatlah bertentangan dengan pakej Prihatin yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat tanpa mengira kedudukan, perkhidmatan, bangsa dan agama.  

"LPPSA tidak sedikit pun menunjukkan rasa simpati dan berhasrat untuk membantu kerajaan bagi memulihkan kedudukan ekonomi rakyat yang terjejas dengan pandemik ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


Azih memberitahu, kerajaan sebelum ini telahpun melonggarkan syarat untuk membolehkan penjawat awam membuat pembiayaan perumahan sehingga 80 peratus daripada gaji mereka. 

Beliau menjelaskan, itu bermakna baki gaji penjawat awam sebenarnya digunakan untuk pinjaman perumahan adalah 20 peratus.

"Bagi meneruskan kelangsungan hidup ada di antara penjawat awam yang terpaksa bekerja dalam bidang yang lain bagi menampung kehilangan pendapatan termasuk juga pasangan mereka disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.  

"Kesusahan dirasai oleh  penjawat awam yang membuat pinjaan perumahan dengan LPPSA.  

"LPPSA tidak sepatutnya membangkitkan Bantuan Prihatin Nasional kerajaan kepada rakyat dan penjawat awam kerana ia telah diumumkan oleh kerajaan," jelasnya.




Sehubungan itu, Azih berkata, ANULAE amat mengharapkan campur tangan kerajaan dalam membuat keputusan seperti yang dilaksanakan oleh LPPSA.

"Kenyataan oleh LPPSA bukan sesuatu yang baharu malah sebelum ini pun mereka amat sukar melaksanakan keputusan yang dibuat oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, ANULAE turut berharap supaya LPPSA dan Kabinet dapat mempertimbangkan semula permohonan para pekerja untuk melaksanakan moratorium bagi mereka yang mendapat pembiayaan daripada LPPSA seperti yang dinikmati oleh peminjam-peminjam yang mendapat pembiayaan daripada bank.



Catat Ulasan

0 Ulasan