PGSM Lancar Program Konsultasi Guaman Syariah Dalam Talian



KUALA LUMPUR 7 APRIL 2020 - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Dalam Talian sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kenyataan penuh Presidennya, Musa Awang adalah seperti berikut:

1. Merujuk kepada PKP yang dilanjutkan ke 14 April 2020, pihak PGSM mengambil maklum berhubung permasalahan masyarakat Islam yang mempunyai isu atau konflik perundangan syariah untuk mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah, di sepanjang PKP berkuat kuasa. Ini kerana semua mahkamah syariah seluruh negara telah menangguhkan operasi dan prosiding mereka buat sementara, sebagai mematuhi PKP tersebut.

2. Dalam tempoh pelaksanaan PKP tersebut, telah berlaku konflik dalam rumahtangga masyarakat Islam. Antaranya berlaku lafaz perceraian luar mahkamah, konflik perebutan hak jagaan anak atau hak lawatan anak, isu berhubung nafkah anak, berlaku kematian suami atau isteri atau waris yang membawa kepada tuntutan harta sepencarian atau faraid, juga berlaku keganasan domestik dalam rumahtangga, dan berbagai lagi. Oleh itu, pihak-pihak yang terlibat perlu mendapatkan nasihat perundangan syariah daripada peguam-peguam syarie yang bertauliah.

3. Sehubungan ini, mulai Selasa 7 April 2020, PGSM telah melancarkan program KONSULTASI GUAMAN SYARIAH SECARA DALAM TALIAN yang mana boleh diakses melalui pelbagai cara berikut:

(i) WhatsApp kepada talian 011-3701-9155

(ii) E-mel kepada nasihatguamanpgsm@gmail.com

(iii) Pihak-pihak boleh mendapatkan senarai nama peguam syarie ahli-ahli PGSM mengikut negeri di laman sesawang www.pgsm.org.my

4. Khidmat konsultasi yang diberikan melalui medium-medium tersebut di atas adalah percuma. Namun, sekiranya pihak-pihak ingin mendapatkan khidmat konsultasi lanjut, mereka akan dipanjangkan kepada peguam syarie yang terdiri daripada seramai lebih 700 orang ahli PGSM di seluruh pelusuk negara, yang berada dalam jarak 10 km dari tempat kediaman mereka. 

5. Program KONSULTASI GUAMAN SYARIAH SECARA DALAM TALIAN ini akan diteruskan walaupun setelah PKP ini ditamatkan oleh pihak kerajaan. 

6. PGSM berharap dengan usaha ini akan dapat membantu kerajaan dalam menangani kesan pandemik COVID-19 dan kesan pelaksanaan PKP ini kepada masyarakat, khususnya masyarakat Islam di negara ini.

Lebih 3500 Peguam Syarie Terjejas Akibat Pandemik COVID-19

PPMM Rayu Kerajaan Bantu Peguam Hadapi Situasi Getir


Catat Ulasan

0 Ulasan