Lebih 3500 Peguam Syarie Terjejas Akibat Pandemik COVID-19


KUALA LUMPUR 27 Mac 2020 - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap kerajaan dan pihak-pihak berkenaan mempertimbangkan penyaluran bantuan kepada lebih 3,500 peguam syarie yang terjejas pendapatan akibat COVID-19.

Berikut adalah kenyataan penuh Presidennya, Musa Awang:

1. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik usaha pihak Kerajaan bagi membendung wabak COVID-19 dengan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 dan kemudiannya dilanjutkan ke 14 April 2020.

2. PGSM juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan yang memperkenalkan beberapa usaha untuk membantu mengurangkan kesan ekonomi kepada rakyat yang menerima kesan daripada pandemik COVID-19 ini, seperti penangguhan bayaran pembiayaan dan pinjaman peribadi serta korporat, pengeluaran wang KWSP (i-Lestari) dan sebagainya.

3. Dalam usaha tersebut, PGSM berharap pihak kerajaan tidak melupakan lebih 3500 orang Peguam Syarie yang turut menerima kesan daripada pandemic COVID-19.

4. Peguam Syarie adalah mereka yang berkelayakan yang diberikan Sijil Peguam Syarie oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri, dengan membayar fee tertentu pada setiap tahun, untuk mereka berguam di mahkamah syariah di negeri-negeri.  Sumber pendapatan Peguam Syarie adalah bergantung sepenuhnya kepada fee guaman yang dibayar oleh anak guam bagi mewakli anak guam sepanjang perbicaraan di mahkamah syariah. Hakikatnya, sepanjang PKP ini, semua prosiding di mahkamah syariah ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum diketahui. Ini telah menyebabkan Peguam Syarie hilang punca pendapatan mereka, pada suatu tempoh yang belum diketahui, bergantung kepada situasi pandemik COVID-19.

5. Pejabat atau firma Peguam Syarie terpaksa ditutup, kakitangan tidak dapat bekerja dan yuran guaman tidak dapat dikutip daripada anak guam. Anak guam juga turut terjejas sumber pendapatan mereka dan tidak dapat membuat bayaran kepada Peguam Syarie yang dilantik.

6. Kebanyakan Peguam Syarie adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma sendiri dan menggaji pekerja. Mereka tidak mencarum dalam KWSP kerana mereka adalah majikan yang perlu membayar caruman KWSP pekerja. Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewabeli kenderaan, simpanan peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan juga perlu dilunaskan.

7. Malah, sebahagian besar Peguam Syarie adalah peguam muda yang baru membina karier dan belum kukuh ekonomi dan kewangan mereka. Termasuk juga Pelatih Dalam Kamar yang baru bergraduasi, yang sedang menjalani latihan di firma-firma Peguam Syarie.

8. Sehubungan itu, pihak PGSM yang sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan Peguam Syarie secara umumnya dan khusus kepada ahli-ahlinya terutama dalam menghadapi situasi getir hari ini merayu pertimbangan dari pihak kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) agar dapat membantu lebih 3500 orang Peguam Syarie seluruh negara, khususnya ahli PGSM di dalam menghadapi situasi getir hari ini.

9. Secara khususnya, PGSM menggesa supaya :

(i) Majlis Agama Islam Negeri-negeri melalui Baitulmal negeri-negeri memberikan bantuan secara “one-off” kepada semua Peguam Syarie yang beramal di negeri-negeri tersebut sekurang-kurangnya sebanyak RM1,000.00 setiap Peguam Syarie bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang pandemik COVID-19 ini. Data dan maklumat Peguam Syarie yang beramal ini boleh diperolehi daripada Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie di setiap negeri.

(ii) Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mengecualikan bayaran pembaharuan sijil amalan tahunan bagi tahun 2020. Setiap tahun, Peguam Syarie yang beramal akan memperbaharui Sijil Amalan Tahunan mereka dengan bayaran sekurang-kurangnya RM100.00 hingga RM250.00 setahun.

(iii) Pihak Kerajaan menghentikan sementara sumbangan mandatori dari majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun ini.

(iv) Pihak Kerajaan juga boleh menyalurkan bantuan dalam bentuk geran kepada pihak PGSM untuk membantu para Peguam Syarie melalui pihak persatuan.

Seandainya krisis ini berpanjangan, pihak PGSM sedia untuk dilibatkan dalam apa-apa perbincangan bagi menangani kesan ekonomi dan sosial kepada golongan Peguam Syarie khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

Pengesanan Pencemaran Minyak Di Sungai Selangor

Prasarana Berhasrat Derma Motosikal Baharu Kepada Penunggang Grabfood Terlibat Kemalangan

Sumber Pembelajaran Dalam Talian & Data 4G Percuma Melalui Inisiatif Learn From Home

Soalan Lazim Asas Pengeluaran i-Lestari

Bimbang Kesan Ekonomi Akibat Covid-19? Salurkan Maklum Balas Kepada Kerajaan

Kabinet Malaysia mulai 9 Mac 2020


Catat Ulasan

0 Ulasan