PPMM Rayu Kerajaan Bantu Peguam Hadapi Situasi Getir


Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berharap kerajaan mempertimbangkan bantuan untuk peguam-peguam muda yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Kenyataan penuh Presidennya, Datuk Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar pada 26 Mac 2020 adalah seperti berikut:

1. PPMM mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana mengambil langkah yang tepat bagi membendung wabak Covid-19 termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 dan kemudiannya dilanjutkan ke 14 April 2020. Semua tindakan ini sangat perlu bagi mengekang penyebaran pendemik ini.

2. PPMM juga menghargai usaha pihak kerajaan bagi membantu rakyat dan ‘frontliners’ antaranya peruntukan khas kepada pihak hospital dan petugas barisan hadapan, penangguhan bayaran pembiayaan dan pinjaman peribadi dan korporat.

3. PPMM yang mewakili lebih seribu orang ahli yang terdiri daripada peguam sivil, peguam syarie dan peguam yang tidak beramal sangat prihatin kepada semua peguam amnya dan ahli PPMM khasnya akibat PKP ini kebanyakan ahli tidak dapat menjalankan amalan guaman mereka seperti lazimnya. Natijah daripada PKP ini perkhidmatan profesional tersebut tidak dapat diberikan kepada anak guam dan yuran guaman profesional juga tidak dapat dikutip.

4. Lebih 60 peratus daripada ahli PPMM merupakan peguam muda yang beramal kurang dari sepuluh tahun, baru membina kerjaya dan masih belum berjaya dan bebas dari bebanan hutang lagi. Firma guaman mereka juga masih belum begitu kukuh lagi apatah lagi apabila diuji dengan pandemik yang bukan sahaja menggegarkan Malaysia tetapi memberi impak negatif yang sangat besar kepada ekonomi dunia.

5. Kebanyakan peguam-peguam ini masih tergolong dalam Kumpulan M40, masih belum mencapai tahap T20 lagi. Namun jika kita lihat dalam waktu wabak seperti ini tumpuan bantuan kebanyakannya diberikan kepada golongan B40 sahaja. Golongan M40 khususnya yang tinggal di bandar seperti peguam-peguam muda ini biasanya dilupakan walaupun mereka juga sepatutnya disantuni.

6. Adalah suatu falasi jika kita menganggap semua peguam hidup mewah dan tidak memerlukan sebarang bantuan dari mana-mana pihak.

7. PPMM menerima banyak aduan berhubung dengan perkara ini daripada ahli-ahli yang gusar bagaimana mereka dapat terus memberikan khidmat guaman professional mereka. Ini adalah disebabkan mereka masih perlu membayar gaji pekerja, sewa, yuran profesional lain dan banyak lagi. Kebimbangan mereka lebih terserlah apabila tempoh PKP dilanjutkan walaupun mereka sedar ia merupakan keperluan yang perlu dilakukan.

8. Oleh yang demikian PPMM memohon pertimbangan dari pihak kerajaan agar dapat membantu para peguam khususnya ahli PPMM dalam menghadapi situasi getir hari ini. Bantuan boleh diberikan sama ada dalam bentuk dana, geran ataupun apa-apa rebat yang dapat diberikan khususnya bagi peguam bumiputra. Dana boleh diberikan sama ada dalam bentuk ‘one-off’ ataupun dengan secara pinjaman tanpa faedah serta tanpa birokrasi yang boleh melewatkan pemberian tersebut.

9. Perbelanjaan-perbelanjaan yang wajib bagi peguam seperti yuran pembaharuan sijil guaman, premium insuran indemniti profesional dan lain lain lagi boleh diberikan rebat atau separa ditanggung pihak kerajaan.

10. Perbelanjaan pejabat boleh ditampung melalui geran yang boleh diberikan mengikut jumlah peguam, paralegal dan kerana bagi menampung perbelanjaan pejabat sehingga ekonomi menjadi lebih stabil, begitu juga bayaran utiliti, cukai boleh diberikan rebat atau moratorium.

11. Pihak kerajaan juga perlu mengumpukkan dana khusus kepada badan-badan berkaitan dan persatuan seperti PPMM bagi membantu ahli-ahli yang benar-benar memerlukan bantuan.

12. Dalam masa yang sama PPMM juga menawarkan segala kepakaran yang dimiliki ahli-ahli PPMM di dalam menangani pendemik yang melanda dunia khususnya isu-isu berkaitan undang-undang sama ada sivil ataupun syariah, mediasi dan penasihatan menangani pasca trauma.

13. Ini adalah disebabkan selepas pendemik ini berakhir ataupun lebih awal lagi selepas tempoh PKP ditamatkan ramai rakyat yang juga akan mengalami pelbagai masalah perundangan sama ada berkaitan peribadi, perniagaan, keluarga ataupun dalam masyarakat. Kesemua ini perlu ditangani secara profesional melalui suatu tindakan bersepadu atas nama menangani masalah pasca trauma.

Pendapatan pelaut Malaysia turut terjejas akibat COVID-19

Soalan Lazim Asas Pengeluaran i-Lestari

Bimbang Kesan Ekonomi Akibat Covid-19? Salurkan Maklum Balas Kepada Kerajaan

Penangguhan Pembayaran Program Pengurusan Kredit AKPK

Sumber Pembelajaran Dalam Talian & Data 4G Percuma Melalui Inisiatif Learn From Home

Catat Ulasan

0 Ulasan