Gambar: RTM |
TITAH DIRAJA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG
SEMPENA
PEMBUKAAN
PENGGAL KETIGA, PARLIMEN KEEMPAT BELAS
PADA
18 MEI 2020
BERTEMPAT DI
BANGUNAN PARLIMEN, KUALA LUMPUR
بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركات ه
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام
على اشرف الانبياء والمرسلين
وعلى اله وصحبه اجمعي ن
رب اشرح لي صدرى ويسرلي امري
والحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA; YANG DI-PERTUA
DEWAN RAKYAT; AHLI-AHLI DEWAN NEGARA DAN AHLI-AHLI DEWAN RAKYAT SEKALIAN.
ALHAMDULILLAH. BERSYUKUR BETA KE HADRAT ALLAH
SUBHANAHU WATA’ALA; KERANA TELAH MELIMPAHKAN KURNIA DAN KEIZINANNYA KEPADA KITA
SEMUA PADA HARI INI UNTUK BERSAMA-SAMA DALAM ISTIADAT PEMBUKAAN PENGGAL KE-3;
PARLIMEN KE-14.
LEBIH BERMAKNA APABILA ISTIADAT INI
BERLANGSUNG DALAM BULAN RAMADAN; IAINI BULAN YANG PENUH KEBERKATAN DAN MENJADI
PENGHULU KEPADA SEKALIAN BULAN.
ISTIADAT PADA PAGI INI DIADAKAN DALAM SUASANA
YANG AGAK BERBEZA DARI NORMA DAN KELAZIMAN-NYA. KETIKA INI; NEGARA KITA MASIH
LAGI DALAM USAHA MEMERANGI PENULARAN WABAK COVID-19 YANG TELAH MULA-MULA DIKESAN
MENJANGKITI RAKYAT MALAYSIA PADA AWAL BULAN FEBRUARI YANG LALU.
NAMUN DEMIKIAN; KITA TELAH MENGHADAPI DAN
MENANGANI WABAK INI DENGAN BERSATU PADU SEBAGAI SEBUAH BANGSA MALAYSIA YANG
KUAT; CEKAL DAN BERDISIPLIN. DALAM SAAT GETIR INI; PETUGAS BARISAN HADAPAN
NEGARA TERUTAMANYA PERKHIDMATAN KESIHATAN; ANGKATAN TENTERA MALAYSIA; POLIS
DIRAJA MALAYSIA; JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA; JABATAN IMIGRESEN
MALAYSIA; AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA; ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA;
JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA; DAN LAIN-LAIN AGENSI YANG TURUT TERLIBAT; TELAH
TAMPIL DENGAN PENUH DEDIKASI YANG TINGGI MENGHADAPI SERANGAN WABAK INI.
PENGORBANAN MEREKA TIDAK PERNAH MENGENAL ERTI
PENAT MAHUPUN TAKUT HINGGAKAN NYAWA DAN KESELAMATAN DIRI SENDIRI MENJADI
TARUHAN DEMI MENJAGA KEMASLAHATAN DAN KEPENTINGAN ORANG RAMAI.
JUSTERU; SEBAGAI TANDA PENGHARGAAN NEGARA;
MARILAH BERSAMA-SAMA DENGAN BETA UNTUK BERDIRI DAN MEMBERIKAN TEPUKAN YANG
GEMURUH KEPADA SEMUA WIRA DAN WIRAWATI PETUGAS BARISAN HADAPAN NEGARA.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
PADA 24 FEBRUARI 2020 YANG LALU; NARATIF
LANSKAP POLITIK NEGARA TELAH SEKALI LAGI DIGEGARKAN MENERUSI PERLETAKAN JAWATAN
PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KE-7.
SEKITAR JAM 5.00 PETANG PADA HARI YANG SAMA;
BETA TELAH BERKENAN MENERIMA MENGHADAP YANG BERHORMAT TUN DR. MAHATHIR BIN
MOHAMMAD. DALAM PERTEMUAN TERSEBUT; BETA TELAH MEMINTA YANG BERHORMAT TUN DR
MAHATHIR BIN MOHAMMAD UNTUK TIDAK MELETAK JAWATAN. NAMUN BELIAU TETAP DENGAN
KEPUTUSANNYA.
OLEH YANG DEMIKIAN; BETA BERTANGGUNGJAWAB
UNTUK MELANTIK SEORANG PERDANA MENTERI YANG BAHARU SEPERTI MANA YANG
DIKEHENDAKI OLEH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. PERKARA 43 MEMBERI KUASA BUDI BICARA
KEPADA BETA UNTUK MELANTIK SEORANG AHLI DEWAN RAKYAT YANG PADA HEMAT BETA
MENDAPAT KEPERCAYAAN MAJORITI AHLI-AHLI DEWAN RAKYAT.
LANTARAN ITU; PADA 25 DAN 26 FEBRUARI 2020;
BETA TELAH MENGADAKAN SESI PERTEMUAN SECARA BERSEORANGAN DENGAN AHLI-AHLI DEWAN
RAKYAT UNTUK MENILAI SENDIRI SOKONGAN KEPERCAYAAN MEREKA.
PADA 29 FEBRUARI 2020; BETA TELAH MENITAHKAN
SEMUA PARTI-PARTI POLITIK YANG MEMPUNYAI WAKIL DALAM DEWAN RAKYAT UNTUK
MENCALONKAN NAMA SEORANG AHLI DEWAN RAKYAT SEBAGAI BAKAL PERDANA MENTERI.
ATAS PERMINTAAN BEBERAPA KETUA PARTI POLITIK;
BETA TELAH BERKENAN PULA UNTUK MELANJUTKAN TEMPOH MASA BAGI PARTI-PARTI POLITIK
MENGEMUKAKAN PENCALONAN MEREKA AGAR MASA YANG CUKUP DIBERIKAN DALAM MEREKA
MEMBUAT PERHITUNGAN SECARA DEMOKRASI.
SUDAH TENTU SETIAP PERTANDINGAN PASTI AKAN ADA
PENAMATNYA. KEMELUT POLITIK NEGARA TIDAK BOLEH DIBIARKAN BERLARUTAN DAN
BERPANJANGAN DENGAN TANPA ADA PENGHUJUNGNYA.
LANTARAN ITU; SETELAH MELALUI SEMUA PROSES
TERSEBUT; DAN SELARAS DENGAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN; BETA TELAH MENDAPATI
YANG AMAT BERHORMAT TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI YASSIN TELAH MENDAPAT KEPERCAYAAN
MAJORITI AHLI-AHLI DEWAN RAKYAT DAN DENGAN DEMIKIAN SELAYAK-NYA DI-LANTIK
SEBAGAI PERDANA MENTERI KE-8.
SESUNGGUHNYA; BETA TELAH MENGGALAS AMANAH
DENGAN TELUS DAN ADIL SELARAS DENGAN KONSEP RAJA BERPERLEMBAGAAN DAN DEMOKRASI
BERPARLIMEN YANG MENJADI TUNJANG AMALAN NEGARA KITA.
PADA MASA YANG SAMA; BETA JUGA MENGHARGAI
KEMATANGAN DAN KERJASAMA SEMUA AHLI-AHLI YANG BERHORMAT DAN RAKYAT JELATA YANG
TELAH MEMAINKAN PERANAN DENGAN PENUH BERHEMAH DAN BERETIKA SEHINGGA MEMBOLEHKAN
BETA MENGGALAS AMANAH INI.
KEPADA KERAJAAN BETA DI BAWAH KEPIMPINAN
MEMANDA PERDANA MENTERI; YANG AMAT BERHORMAT TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI YASSIN;
BETA MENARUH KEYAKINAN BAHAWA USAHA-USAHA MEMBAWA NEGARA UNTUK TERUS MENDAKI
PERSADA KEJAYAAN YANG LEBIH TINGGI AKAN MENJADI KENYATAAN.
NASIHAT BETA; LAKSANAKAN AMANAH INI DENGAN
JUJUR DAN PENUH TANGGUNGJAWAB; SERTA JANGAN SEKALI-KALI MENGABAIKAN
KESEJAHTERAAN RAKYAT JELATA.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
SESUNGGUHNYA; CABARAN YANG DIHADAPI NEGARA
DATANG DARIPADA PELBAGAI SUDUT. NEGARA KINI BERHADAPAN DENGAN KEADAAN EKONOMI
DUNIA YANG TIDAK MENENTU; KEJATUHAN HARGA MINYAK; PERANG PERDAGANGAN KHUSUSNYA
ANTARA AMERIKA SYARIKAT DAN CHINA; HALANGAN DAN SEKATAN PERDAGANGAN OLEH NEGARA
TERTENTU; KOMODITI YANG DIKAITKAN DENGAN ISU ALAM SEKITAR; PERGOLAKAN POLITIK
DI BEBERAPA NEGARA; DAN YANG TERBAHARU PENULARAN WABAK COVID-19. SEMUA CABARAN
INI TELAH MEMBERI KESAN KEPADA MALAYSIA YANG MENGAMALKAN EKONOMI TERBUKA. BETA
BERKEYAKINAN; KERAJAAN BETA AKAN TERUS BERUSAHA MEMINIMUMKAN KESAN BURUK KEPADA
RAKYAT DAN NEGARA.
KEDATANGAN WABAK VIRUS COVID-19 YANG MELANDA
DUNIA DAN NEGARA; TELAH TURUT MEMBERI KESAN KEPADA EKONOMI SERTA KESIHATAN DAN
KEHIDUPAN RAKYAT JELATA. BELUM PERNAH NEGARA BERHADAPAN DENGAN WABAK YANG
SEBEGINI SERIUS SEBELUM INI.
DALAM MENGHADAPI WABAK INI; FOKUS UTAMA
KERAJAAN BETA ADALAH UNTUK MEMASTIKAN KESEJAHTERAAN DAN KESELAMATAN RAKYAT
JELATA SENTIASA TERJAMIN DAN TERBELA. INI TERMASUK DENGAN MELAKSANAKAN PERINTAH
KAWALAN PERGERAKAN DAN MEMBANTU MEMBAWA PULANG RAKYAT MALAYSIA YANG
TERPERANGKAP DI LUAR NEGARA.
BETA MEMAHAMI BANYAK INDUSTRI DAN PERNIAGAAN
TERJEJAS AKIBAT WABAK INI. NAMUN; BETA MENYERU KEPADA PARA MAJIKAN UNTUK TIDAK
MEMBUANG PEKERJA DENGAN SEWENANG-WENANG-NYA.
SEMUA PIHAK HENDAKLAH BERSEDIA
MELAKUKAN PENGORBANAN DEMI MERINGANKAN BEBANAN RAKYAT JELATA DAN JUGA
MENYELAMATKAN EKONOMI NEGARA. BETA TURUT BERHARAP KERAJAAN MEMBERI TUMPUAN
UNTUK MEMBANTU SYARIKAT DAN PERNIAGAAN YANG TERKESAN TERUK SEPERTI INDUSTRI
PELANCONGAN DAN PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA.
BETA BERHARAP INISIATIF-INISIATIF YANG DIAMBIL
OLEH MAJLIS TINDAKAN EKONOMI TERMASUK MEMPERKENALKAN PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI
PRIHATIN RAKYAT BERJUMLAH 260 BILION RINGGIT BAGI MELINDUNGI KEBAJIKAN RAKYAT
DAN MENYOKONG INDUSTRI SERTA PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA NEGARA AKAN SEGERA
DIRASAI IMPAKNYA.
PAKEJ TERSEBUT ADALAH SUATU YANG AMAT BESAR
DAN LUAR BIASA. JUSTERU; IA PERLU DISOKONG SEPENUHNYA OLEH SEMUA PIHAK. BETA
YAKIN DENGAN KERJASAMA DAN KESEPAKATAN YANG JITU; CABARAN YANG KITA HADAPI INI
AKAN DAPAT KITA TANGANI BERSAMA. INSYA-ALLAH.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
DI SEBALIK USAHA-USAHA KERAJAAN; BETA JUGA
BERASA BIMBANG MELIHAT POLARISASI KAUM YANG MASIH WUJUD KETIKA INI. PADA HEMAT
BETA; SEBARANG BENTUK TINDAKAN PROVOKASI DAN FAHAMAN SERTA NILAI YANG
BERTENTANGAN DENGAN NORMA; ADAT DAN UNDANG-UNDANG; BIARPUN DILAKUKAN OLEH
SEGELINTIR PIHAK; PERLU DIBENDUNG SEBELUM IA MEREBAK DAN MENJADI BARAH KEPADA KESTABILAN
NEGARA.
SETIAP KAUM PERLU MENUNJUKKAN SIKAP DAN
TAULADAN YANG JUJUR UNTUK MENGERATKAN HUBUNGAN. DALAM USAHA MENGUKUHKAN LAGI
KESEPADUAN SOSIAL DAN INTEGRASI NASIONAL; BETA MENYAMBUT BAIK PELAKSANAAN PELAN
TINDAKAN PERPADUAN NEGARA BAGI MEMASTIKAN AGENDA PERPADUAN NASIONAL DAPAT DITERAPKAN
SECARA MENYELURUH MENERUSI ELEMEN-ELEMEN KEPERCAYAAN DAN JATI DIRI YANG TEGUH
BERLANDASKAN KEPADA PRINSIP RUKUN NEGARA.
KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN
SEPERTI YANG TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN AKAN TERUS DIPERTAHANKAN.
SELARAS DENGAN AJARAN ISLAM YANG SYUMUL DAN DIPACU OLEH PRINSIP MAQASID
SYARIAH; BETA MAHU KERAJAAN MEWUJUDKAN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM YANG INKLUSIF;
PROGRESIF; MEMBENTUK HUBUNGAN ETNIK DAN AGAMA YANG HARMONI; MENYANTUNI
KEMANUSIAAN DAN PERADABAN KE ARAH KESEJAHTERAAN SEJAGAT.
PADA MASA YANG SAMA; KERAJAAN BETA AKAN TERUS
MEMPERTAHANKAN HAK-HAK PENGANUT AGAMA LAIN UNTUK TERUS BEBAS MENGAMALKAN AGAMA
MEREKA SECARA BERHEMAH DAN AMAN.
MENYENTUH ASPEK KESELAMATAN NEGARA; BETA
BERHARAP KERANGKA STRATEGI DAN DASAR PERTAHANAN MASA HADAPAN NEGARA PERLU
MENGAMBIL KIRA KEPENTINGAN DIPLOMASI PERTAHANAN; DASAR LUAR NEGARA YANG PRAGMATIK;
TRITI ANTARABANGSA DAN KEDUDUKAN GEO-POLITIK NEGARA DI RANTAU ASIA-PASIFIK.
PENINGKATAN AKTIVITI KETENTERAAN DUA KUASA
BESAR DUNIA IAITU AMERIKA SYARIKAT DAN REPUBLIK RAKYAT CHINA DI LAUT CINA
SELATAN MUTAKHIR INI WAJAR DIBERIKAN PERHATIAN. OLEH KERANA ITU; MALAYSIA
HENDAK-LAH SENTIASA PEKA KEPADA DOMAIN MARITIM NEGARA DI-SAMPING TERUS MERANGKA
STRATEGI UNTUK MENDUKUNG ASPIRASI GEO-POLITIK NEGARA.
PADA MASA YANG SAMA; TAHAP KESELAMATAN DALAM
NEGARA HENDAKLAH TERUS DIPERTINGKATKAN TERUTAMANYA DALAM MENANGANI PELBAGAI
JENAYAH; PENYALAHGUNAAN DADAH; PENYELUDUPAN DAN JUGA PEMERDAGANGAN MANUSIA.
SELAIN ITU; KERAJAAN BETA HENDAK-LAH JUGA
MERANGKA PENDEKATAN YANG KOMPREHENSIF DALAM MENANGANI KEMASUKAN PENDATANG ASING
TANPA IZIN YANG BOLEH MENIMBULKAN PELBAGAI MASALAH DARI ASPEK EKONOMI; SOSIAL
DAN KESELAMATAN NEGARA. SEMPADAN NEGARA YANG TERBUKA LUAS PERLU TERUS
DI-PERKUKUHKAN DALAM USAHA MENGEKANG LALUAN RENTAS SEMPADAN PENDATANG ASING
TANPA IZIN.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
KERAJAAN BETA AKAN TERUS MERANCANG;
MEMPERKENAL SERTA MELAKSANA-KAN PELBAGAI PROGRAM DAN INISIATIF BAGI MERANCAKKAN
AKTIVITI EKONOMI UNTUK MENINGKATKAN PENDAPATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT. KE
ARAH INI, WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030 AKAN MENJADI PENCETUS KEPADA HALA
TUJU BAHARU PEMBANGUNAN NEGARA.
WAWASAN INI BERMATLAMAT SUPAYA SEGENAP LAPISAN
RAKYAT DAPAT MENGECAP TARAF HIDUP WAJAR DENGAN PENGAGIHAN EKONOMI YANG ADIL;
SAKSAMA SERTA INKLUSIF. SELAIN ITU; JURANG EKONOMI DAN PEMBANGUNAN ANTARA KELAS PENDAPATAN; WILAYAH; ETNIK DAN
RANTAIAN BEKALAN AKAN DIRAPATKAN.
RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS YANG AKAN DIBENTANGKAN
DI DEWAN YANG MULIA INI ADALAH MERUPAKAN FASA PERTAMA WAWASAN KEMAKMURAN
BERSAMA 2030. BETA YAKIN DASAR DAN STRATEGI RANCANGAN TERSEBUT YANG DIRANGKA
MELALUI PENGLIBATAN PELBAGAI PIHAK AKAN DAPAT MENINGKATKAN LAGI PERTUMBUHAN
EKONOMI DAN KEMAJUAN NEGARA YANG AKHIRNYA AKAN DINIKMATI OLEH RAKYAT JELATA
KESELURUHANNYA.
MENYEDARI PENTINGNYA SUNTIKAN PELABURAN BAGI
MERANCAKKAN EKONOMI NEGARA; KERAJAAN BETA AKAN TERUS MEMPERMUDAH URUSAN
PERNIAGAAN BAGI MENINGKATKAN AKTIVITI PELABURAN. HAL INI TERMASUK KEPERLUAN
MENGEMASKINI UNDANG-UNDANG; PROSES KELULUSAN DAN INSENTIF SEDIA ADA. BETA
MENYERU AGAR PROSES KELULUSAN TERUTAMANYA PROJEK BERIMPAK TINGGI HENDAK-LAH DITAMBAH
BAIK AGAR IANYA CEKAP DAN PANTAS BAGI MENARIK LEBIH BANYAK PELABURAN
BERKUALITI.
SELARAS DENGAN REVOLUSI INDUSTRI KE-4; BETA
MENYAMBUT BAIK DASAR UNTUK MEWUJUDKAN EKO-ISTEM YANG MENYOKONG INDUSTRI
MELALUI PENYEDIAAN DANA DAN INSENTIF; PEMBANGUNAN PRASARANA SOKONGAN SERTA
RANGKA KERJA KAWAL SELIA. SUMBER PERTUMBUHAN BAHARU YANG BERKEMBANG PESAT
SEPERTI TEKNOLOGI 5-G; KECERDASAN BUATAN; INTERNET OF THINGS DAN ANALITIS DATA
RAYA AKAN DIPERHEBATKAN. BETA MENGGESA PEMAIN INDUSTRI AGAR TURUT SAMA
MEMPERGIAT USAHA SEBAGAI PELENGKAP KEPADA INISIATIF YANG DIBAWA OLEH KERAJAAN.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
KERAJAAN BETA AKAN TERUS BERUSAHA UNTUK
MEWUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN KEPADA RAKYAT; TERMASUK DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN
YANG MENJADI ANTARA NADI UTAMA PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA. BETA MENYAMBUT BAIK
STRATEGI DAN INISIATIF BAGI MEMBANGUNKAN LEBIH BANYAK PERUSAHAAN KECIL DAN
SEDERHANA KE ARAH MENJADI-KAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA KEUSAHAWANAN
UNGGUL MENJELANG TAHUN 2030.
UNTUK MEMASTIKAN NEGARA SENTIASA DI HADAPAN
DALAM PELBAGAI BIDANG; KEMAJUAN REVOLUSI INDUSTRI KE-4 HENDAK-LAH DIMANFAAT-KAN
UNTUK MENINGKATKAN AKSES DAN KESAKSAMAAN PENDIDIKAN; SELAIN PENEKANAN KEPADA
PEMBENTUKAN ILMU; KEMAHIRAN SERTA SAHSIAH.
PENDIDIKAN DI ERA PASCA COVID-19 AKAN
BERHADAPAN DENGAN KELAZIMAN BAHARU; ATAU THE NEW NORMAL. JUSTERU; KOLABORASI
INSTITUSI PENDIDIKAN DENGAN PELBAGAI PIHAK YANG TERLIBAT JUGA PERLU DI-PERGIAT BAGI
MELAHIRKAN MODAL INSAN YANG BERPENGETAHUAN; BERKEMAHIRAN TINGGI DAN BERDAYA
SAING.
BETA BERHARAP PELABURAN DALAM PENYELIDIKAN;
PEMBANGUNAN DAN INOVASI AKAN TERUS DIPERTINGKATKAN AGAR DAPAT MENYEDIAKAN MODAL
INSAN YANG DIPERLUKAN BAGI MENDEPANI PERKEMBANGAN SEMASA KHUSUSNYA DALAM BIDANG
SAINS; TEKNOLOGI; KEJURUTERAAN DAN MATEMATIK. BETA JUGA AMAT MENYOKONG
PEMERKASAAN PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL; ATAU TVET UNTUK
MEMPERSIAPKAN GOLONGAN BELIA MENGHADAPI CABARAN BAHARU ALAM PEKERJAAN.
KERAJAAN BETA AKAN TERUS BERUSAHA UNTUK
MERAPAT-KAN JURANG PEMBANGUNAN DAN EKONOMI ANTARA NEGERI DAN WILAYAH. IANYA
MERANGKUMI USAHA UNTUK MENINGKATKAN MOBILITI RAKYAT DENGAN MENAMBAH BAIK
RANGKAIAN DAN INFRASTRUKTUR ASAS SERTA PENGANGKUTAN; TERMASUK MEMANTAPKAN LAGI
SISTEM PENGANGKUTAN AWAM YANG SEKALI-GUS BAKAL MENYOKONG INDUSTRI LOGISTIK
NEGARA.
BAGI MENINGKATKAN LAGI KESEJAHTERAAN RAKYAT
DAN MERAPATKAN JURANG PEMBANGUNAN DI SABAH DAN SARAWAK; KERAJAAN BETA TELAH
MENGAMBIL LANGKAH MENERUSI PELAKSANAAN PROJEK-PROJEK INFRASTRUKTUR KRITIKAL DI
KEDUA-DUA NEGERI TERSEBUT.
BETA BERHARAP RAKYAT DI SABAH DAN SARAWAK AKAN
DAPAT MENIKMATI JARINGAN PERHUBUNGAN DAN KEMUDAHAN YANG BERKUALITI DAN LEBIH
BAIK. KAWASAN PEDALAMAN DI SEMENANJUNG JUGA AKAN TERUS DIBERI PERHATIAN YANG
SAMA; TERUTAMANYA DI PENEMPATAN MASYARAKAT ORANG ASLI.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
PERKEMBANGAN TERKINI MENUNJUKKAN LEBIH DUA
PERTIGA RAKYAT MALAYSIA TINGGAL DI BANDAR. SERENTAK DENGAN ITU; KESEJAHTERAAN
MASYARAKAT BANDAR AKAN TERUS DIPERTINGKATKAN. BAGI MENINGKAT-KAN PEMILIKAN
RUMAH; KERAJAAN BETA TELAH MERANGKA DASAR PERUMAHAN MAMPU MILIK NEGARA DAN
MEWUJUDKAN SKIM SEWA MILIK. MELALUI INISIATIF TERSEBUT; DIHARAP LEBIH RAMAI
GOLONGAN B-40 DAN M-40 SERTA GOLONGAN BELIA YANG BERKELAYAKAN DAPAT MEMILIKI
KEDIAMAN SENDIRI.
SEBAGAI KERAJAAN YANG PRIHATIN; MASALAH KOS
SARA HIDUP RAKYAT AKAN TERUS DITANGANI DENGAN SEBAIK MUNGKIN. LANGKAH TELAH DIAMBIL
BAGI MENCEGAH UNSUR MONOPOLI; MEWUJUDKAN PERSAINGAN YANG SIHAT; MENINGKAT-KAN
PENGHASILAN PRODUK BERKUALITI DENGAN HARGA YANG MUNASABAH; SERTA KERJASAMA
STRATEGIK ANTARA SEKTOR AWAM DAN SWASTA.
INISIATIF SEPERTI PROGRAM PENYERAGAMAN HARGA;
KEMPEN BELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA DAN SUBSIDI BERSASAR AKAN TERUS DITAMBAH
BAIK UNTUK MEMBANTU RAKYAT MENANGANI ISU KOS SARA HIDUP.
KERAJAAN BETA AKAN MENERUS-KAN USAHA UNTUK
MENJAGA KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT JELATA TERUTAMA-NYA KANAK-KANAK;
WANITA; WARGA EMAS YANG RENTAN; ORANG KURANG UPAYA DAN GOLONGAN YANG MEMERLUKAN.
BAGI MEMPERKUKUH PERLINDUNGAN DAN HAK KANAK-KANAK PULA; USAHA DIAMBIL BAGI
MEMASTIKAN MEREKA TIDAK DIEKSPLOITASI DALAM APA-APA BENTUK DAN PADA MASA YANG
SAMA POTENSI PENUH MEREKA DAPAT DIREALISASIKAN.
BETA JUGA MENYAMBUT BAIK PENGGUBALAN RANG
UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL YANG AKAN MEMBERI DIMENSI BAHARU KEPADA
LANSKAP SOSIAL NEGARA. DALAM PADA ITU; BELIA PULA PERLU TERUS DIBIMBING AGAR
TIDAK TERLIBAT DENGAN GEJALA NEGATIF. SEBAGAI PEMIMPIN MASA DEPAN; MEREKA WAJAR
DIGALAKKAN UNTUK TURUT TERLIBAT DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
KERAJAAN BETA AKAN MENERUSKAN USAHA UNTUK
MEMBANGUN-KAN INDUSTRI KOMODITI BERASASKAN PERTANIAN SECARA LESTARI DENGAN
SOKONGAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN BERKUALITI; DI SAMPING MENINGKATKAN
PERMINTAAN PASARAN TERMASUK DI PERINGKAT ANTARABANGSA. BAGI MENINGKATKAN LAGI
HASIL PERTANIAN DAN JAMINAN SEKURITI MAKANAN NEGARA; PENEKANAN PERLU DIBERIKAN
KEPADA AUTOMASI; PENGGUNAAN TEKNOLOGI MODEN; BENIH BERKUALITI; PEMBAJAAN DAN
PENGAIRAN; KAWALAN PENYAKIT SERTA KONSOLIDASI KAWASAN PERTANIAN.
KERAJAAN BETA TURUT BERILTIZAM UNTUK TERUS
MENINGKATKAN AKSES PERKHIDMATAN KESIHATAN YANG SAKSAMA KEPADA RAKYAT.
PERKHIDMATAN KESIHATAN AKAN DIPERKASA DENGAN MENJURUS KEPADA PENCEGAHAN DAN
PERAWATAN SECARA HOLISTIK TERMASUK KEPADA MASYARAKAT LUAR BANDAR; ORANG ASLI
SERTA PRIBUMI DI SABAH DAN SARAWAK.
KEMEROSOTAN ALAM SEKITAR DAN KESANNYA KEPADA
KESEJAHTERAAN NEGARA DAN SEJAGAT TIDAK BOLEH LAGI DIPANDANG REMEH. OLEH ITU;
BETA MENYERU SUPAYA MALAYSIA TERUS KOMITED DALAM USAHA MENGETENGAHKAN ISU ALAM
SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM; TERMASUK MEMPERGIATKAN USAHA UNTUK MEMULIHARA
SUNGAI; HUTAN; HIDUPAN LIAR DAN MENGURANGKAN INTENSITI PELEPASAN GAS RUMAH KACA
SERTA MENINGKAT-KAN PENGGUNAAN TENAGA BOLEH BAHARU. PEMERKASAAN UNDANG-UNDANG
ALAM SEKITAR; AKTIVITI PENGUATKUASAAN DAN KERJASAMA ERAT SEMUA PIHAK TERMASUK
NEGARA SERANTAU PERLU TERUS DILAKSANAKAN.
SUNGGUHPUN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2020 TELAH
DIBATALKAN EKORAN PENULARAN WABAK COVID-19; USAHA-USAHA BAGI MEMULIHKAN SEKTOR
PELANCONGAN NEGARA HENDAKLAH DITERUSKAN. PADA MASA YANG SAMA; PEMAIN INDUSTRI
PELANCONGAN HENDAKLAH BERUSAHA UNTUK MEMPERKUKUHKAN PRODUK DAN PAKEJ
PELANCONGAN; SERTA MENJAGA INFRASTRUKTUR SEDIA ADA BAGI MENGEMBALIKAN SEMULA
KECEMERLANGAN SEKTOR PELANCONGAN NEGARA.
SEBAGAI TUAN RUMAH PERSIDANGAN “APEC 2020;”
MALAYSIA AKAN MENGGALAS TANGGUNGJAWAB BESAR DALAM MENENTUKAN HALA TUJU APEC
KHUSUSNYA DALAM MEMBENTUK LANDASAN BAHARU KERJASAMA EKONOMI SERANTAU PASCA
COVID-19. BETA PERCAYA; KERAJAAN BETA AKAN DAPAT MEMBERIKAN KEPIMPINAN YANG
BERKESAN KE ARAH USAHA TERSEBUT DAN JUGA MERENCANA WAWASAN BAHARU APEC BAGI
MENGGANTIKAN MATLAMAT BOGOR YANG AKAN BERAKHIR PADA TAHUN INI.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
NATIJAHNYA; APA JUGA PELAN DAN PROGRAM KE ARAH
PEMBENTUKAN SEBUAH NEGARA MAJU YANG STABIL LAGI MAKMUR TIDAK AKAN TERCAPAI JIKA
NEGARA TERUS DIBELENGGU DENGAN AMALAN RASUAH.
JUSTERU; PELAKSANAAN PROGRAM PEMBANGUNAN
BERTERASKAN AMALAN INTEGRITI DAN TADBIR URUS YANG BAIK ADALAH PENTING BAGI
MENCAPAI PERTUMBUHAN EKONOMI YANG MAMPAN SERTA DEMI MENJAGA KESEJAHTERAAN
RAKYAT DAN NEGARA.
BETA MENGGESA AGAR KERAJAAN BETA UNTUK TERUS
KOMITED DALAM MELAKSANAKAN PELAN ANTIRASUAH NASIONAL. BETA MENYERU SEMUA PIHAK
UNTUK MENDUKUNG ASPIRASI INI AGAR SETIAP AGENDA PEMBANGUNAN NEGARA TIDAK
TERHAKIS OLEH AMALAN RASUAH; PENYELEWENGAN DAN SALAH GUNA KUASA.
TANAM-KAN DI DALAM MINDA MASYARAKAT SEMENJAK
DI BANGKU SEKOLAH LAGI BAHAWA RASUAH ADALAH JIJIK; KOTOR DAN WAJAR DIPERANGI
HABIS-HABISAN.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT.
BETA AMAT MENGHARGAI TAAT SETIA DAN SUMBANGAN
ANGGOTA-ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM; ANGKATAN TENTERA MALAYSIA; POLIS DIRAJA
MALAYSIA SERTA AGENSI-AGENSI KERAJAAN YANG TELAH MENCURAHKAN KHIDMAT BAKTI
DALAM USAHA MEMAJUKAN NEGARA SEHINGGA MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH NEGARA YANG
AMAN; MAKMUR DAN DISEGANI.
BETA MENYERU AGAR AMANAH DAN TANGGUNG-JAWAB
YANG DIJUNJUNG DALAM BERBAKTI KEPADA NEGARA DAN RAKYAT JELATA HENDAKLAH TERUS
DILAKSANA-KAN DENGAN SEBAIKNYA SECARA PROFESIONAL DAN NEUTRAL TANPA MENGIRA
KAUM; AGAMA MAHUPUN KEDUDUKAN.
PADA MASA YANG SAMA; BETA MENYERU AGAR RAKYAT
JELATA TERUS MEMBERIKAN KERJASAMA KEPADA KERAJAAN BETA BAGI MENERUSKAN
KESINAMBUNGAN USAHA-USAHA PEMBANGUNAN NEGARA. BETA YAKIN; HANYA MELALUI
KESEPADUAN ANTARA RAKYAT DENGAN KERAJAAN SAHAJA; YANG MAMPU MELAHIRKAN
MALAYSIA YANG STABIL; AMAN DAN SEJAHTERA.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT SEKALIAN.
SEBELUM BETA MENGAKHIRI TITAH INI; BETA INGIN
BERPESAN KEPADA AHLI-AHLI YANG BERHORMAT SEKALIANNYA. SEBAGAI SEORANG PEMIMPIN;
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT MENJADI TELADAN DALAM MENYEMAI NILAI-NILAI POSITIF
KEPADA RAKYAT.
PERBEZAAN PENDAPAT TIDAK SEHARUSNYA DIAKHIRI
DENGAN PERMUSUHAN DAN CACI MENCACI. SEBALIKNYA; PERBEZAAN PENDAPAT SEHARUSNYA
MENJADI LANDASAN KEPADA PENCETUS IDEA-IDEA BAHARU UNTUK MEMBANGUN DAN MENYATUPADUKAN
NEGARA.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT HENDAKLAH SENTIASA
MEMPAMIRKAN
KEMATANGAN DALAM BERPOLITIK. INI TERMASUKLAH MENJIWAI KELUH KESAH
RAKYAT; MEMBELA NASIB RAKYAT; BERPEGANG KEPADA PRINSIP KEADILAN; MEMBUDAYAKAN
POLITIK YANG BERSIH; TIDAK MENYENTUH SENSITIVITI UGAMA DAN BANGSA MAHUPUN
KEDAULATAN SERTA KEDUDUKAN RAJA-RAJA MELAYU.
JANGAN MENGHERET NEGARA SEKALI LAGI KE KANCAH
POLITIK YANG TIDAK MENENTU KETIKA RAKYAT JELATA MASIH BERHADAPAN DENGAN
PELBAGAI MASALAH DAN MASA DEPAN YANG SUKAR AKIBAT PANDEMIK COVID-19.
SESUNGGUHNYA; PERPADUAN DAN KEHARMONIAN
BERMULA DI DALAM DEWAN YANG MULIA INI. BETA YAKIN; RAKYAT AKAN TERUS ERAT
BERSATU PADU DAN SEPAKAT DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA JIKA RAKYAT TIDAK DISOGOK
DENGAN API PERMUSUHAN DAN PERPECAHAN.
JUSTERU; BERBAHASLAH DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB
DAN SENTIASALAH MENUNJUKKAN KEMATANGAN POLITIK YANG POSITIF UNTUK DICONTOHI
OLEH RAKYAT JELATA.
KEPADA RAKYAT JELATA SEKALIAN; TERUSKAN
MENJAGA KESIHATAN DIRI DAN KELUARGA SERTA PERSEKITARAN SETEMPAT. HINDARI DARIPADA
BERHIMPUN SECARA RAMAI; DAN TERUSKAN MENGAMAL PENJARAKAN SOSIAL. MUDAH-MUDAHAN
MALAYSIA AKAN BERJAYA MENANGANI PANDEMIK COVID-19 INI DENGAN JAYANYA.
MENGAKHIRI TITAH; BETA DAN RAJA PERMAISURI
AGONG BERDOA SEMOGA MALAYSIA SERTA RAKYAT-NYA AKAN TERUS DI-BERKATI DAN DIANUGERAHKAN
OLEH ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA DENGAN TAUFIK DAN HIDAYAH; AMAN SENTOSA SERTA
HIDUP BERSATU PADU DI BAWAH LINDUNGANNYA.
SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI
RAYA AIDILFITRI; MAAF ZAHIR DAN BATIN; IKHLAS DARIPADA BETA; RAJA PERMAISURI
AGONG DAN KELUARGA.
SEKIAN.
وبالله التوفيق والهداي ة
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
0 Ulasan