Gambar: FB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan |
Sebaik sahaja menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Muafakat Nasional (MN) yang ditunjangi UMNO dan PAS telah memulakan gerak kerja memperkasakan kerjasama politik dua parti terbesar orang Melayu dan umat Islam di Malaysia itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam hantaran Facebook miliknya pada 5 Julai 2020.
"Hari ini bersama dengan semua kepimpinan Pengerusi2 Perhubungan , Timbalan Pengerusi dan SU Perhubungan UMNO, dan Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya dan SU Perhubungan PAS, dari seluruh negara, dalam taklimat tatakelola dan struktur pengurusan Muafakat Nasional di setiap negeri dan parlimen.
"Muafakat Nasional perlu di perkasakan... Insha Allah," kata Tok Mat.
Gambar: FB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan |
Langkah itu mencetuskan tanda tanya apakah mungkin MN bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN)?
Dalam beberapa kenyataan terdahulu, Mohamad hanya merujuk kepada MN setiap kali berbicara tentang persediaan menghadapi PRU-15.
Begitu juga dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang lantang mengkritik PN setiap kali mereka melihat ada yang tidak kena.
Selain itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya berdiam diri tentang pertemuan ketua-ketua parti yang menyokong PN di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Keresahan turut dilihat dalam kalangan ahli-ahli akar umbi UMNO lebih-lebih lagi setelah mendengar khabar parti terbesar di Malaysia itu 'dipaksa' memberi laluan kepada serpihannya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebahagian besar kerusi Parlimen yang secara tradisinya ditandingi oleh UMNO.
Mereka yang tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku mungkin secara membabi-buta menuduh UMNO sebagai kemaruk ingin berkuasa semula.
Apa yang mereka tidak sedar, UMNO sudah terlalu banyak mengalah dalam usaha mempertahankan PN yang sebenarnya agak rapuh dan sangat terdedah kepada serangan bertubi-tubi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta konco-konco mereka.
Tok Mat yang bersih daripada sebarang skandal tidak diberi peranan penting dalam kerajaan PN manakala pemimpin-pemimpin UMNO yang dilantik menganggotai kerajaan diletakkan di kementerian-kementerian yang jauh dari rakyat khususnya masyarakat luar bandar.
Yang dilihat paling aktif menyerang Pakatan Harapan (PH) pula ialah Bossku Datuk Seri Najib Tun Razak sedangkan menteri-menteri PN terutamanya dari Bersatu lebih gemar bersikap diam menikus.
Mungkin mereka segan untuk menyerang bekas-bekas sekutu ketika bersama PH dahulu.
Memang boleh guna alasan 'kami mahu tumpukan usaha membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19 dahulu' bagi mengelak daripada menangkis serangan politik daripada PH.
Tetapi mereka sepatutnya ingat bahawa mereka juga adalah ahli politik yang sepatutnya bersikap lebih berani mempertahankan diri apabila diserang pihak lawan.
Bukan sekadar menyerahkan kepada orang lain khususnya pemimpin-pemimpin UMNO untuk berperang bagi pihak mereka.
Gambar: FB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan |
Sepatutnya semua pemimpin PN berkongsi tanggungjawab yang sama untuk mempertahankan kerajaan daripada ancaman musuh.
Bukan sekadar duduk di kerusi empuk kementerian dan membiarkan pemimpin-pemimpin dari kem MN bertungkus-lumus turun padang berdepan dengan rakyat untuk memperjelaskan kedudukan sebenar.
Jika begini caranya, lebih baik MN sahaja yang bertanding dalam PRU-15 nanti.
Kalau pemimpin Bersatu dan kluster bekas PKR ingin tumpang sekaki, mereka amat dialu-alukan.
Cuma janganlah minta lebih-lebih. Biarlah berpada-pada sebab dalam mana-mana kerjasama politik, hati semua pihak perlu dijaga.
Tak eloklah kalau fikir kehendak hati dan kepentingan diri sendiri sahaja.
0 Ulasan